Hari ni saya nak kongsikan mengenai mee kampua dan mee kolok, dua mee kesukaanku! Orang-orang Sarawak mesti dah tau sangat dah dua menu mee ni sebab dua-dua pun cukup popular di Sarawak. Dua-dua mee ni selalunya dimakan untuk sarapan tetapi ada juga yang makan untuk dinner.
Saya rasa orang-orang di Semenanjung Malaysia lebih mengenali mee kolok kan? berbanding mee kampua! aduhhh saya bocorkan menu sedap pula! hehe. Mee kolok lagi dikenali kerana mudah didapati di beberapa kedai makan orang Sarawak di Semenanjung Malaysia ni.
Jika anda berpeluang ke Sarawak dan nak rasa hidangan ni, jangan keliru taw sebab kedua-dua hidangan mee ini serupa. Jadi, saya nak kongsikan dengan anda semua sedikit tentang macam mana nak bezakan mee kampua dan mee kolok ni berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya ya.
Sebagai pengemar tegar mee kampua, saya boleh nampak perbezaan mee kampua dan mee kolok sekilas saja sebab saya tengok jenis mee yang digunakan. Mee kampua dihasilkan dengan mee yang lebih lurus manakala mee kolok pula dihasilkan dengan mengunakan mee yang lebih kerinting dan lebih halus.
Walaupun tidak ada fakta nyata tentang bahan-bahan asas yang digunakan bagi menghasilkan kedua-dua jenis mee, namun, tekstur dan rasa serta aroma kedua-dua hidangan ini adalah jauh berbeza sekali.
Bagi yang biasa dan membesar dengan memakan mee kampua sudah tentu akan lebih suka kepada rasa dan aroma mee kampua dan perkara sebaliknya juga berlaku pada pengemar mee kolok. Jadi, rasa yang mana satu lebih sedap sebenarnya adalah bergantung pada citarasa individu sendiri.
Secara literalnya Mee Kampua atau 干盘面 dalam dialek Foochow merujuk kepada “mee kering”. Jadi, anda akan dapati Mee Kampua sebenarnya adalah lebih kering dan berminyak berbanding dengan Mee Kolok yang agak basah.
Salah satu perbezaan utama adalah mee kampua selalunya dihidang atau dimakan dengan sos cili manakala mee kolok pula kerap dimakan bersama cili potong.
Bagi saya secara peribadi, jika makan mee kampua dengan perencah selain sos cili, rasa dia tak ngam begitu juga dengan mee kolok.
Mee Kampua adalah makanan istimewa komuniti Foochow. Oleh itu, anda akan mendapati bahawa Mee Kampua akan lebih mudah didapati di sekitar bandar-bandar yang didiami oleh komuniti Foochow seperti Sibu.
Mee Kolok pula adalah hidangan popular dalam kalangan komuniti di Kuching. Ia boleh dijumpai dengan mudah di bandar Kuching. Jadi, bagi bahagian-bahagian yang lebih dekat dengan Kuching, Mee Kolok adalah lebih dikenali daripada Mee Kampua dalam kalangan komuniti setempat.
Walaupun kedua-dua hidangan ini dihasilkan menggunakan bahan asas yang hampir sama seperti mee, minyak, bawang dan perencah lain, namun, mee kolok yang mempunyai taburan daging cincang diatasnya, mee kampua biasanya hanya dihidangkan bersama kepingan daging sahaja.
Apa pun, hari ini, terdapat juga banyak variasi mee kampua dan mee kolok yang telah diubahsuai bagi memenuhi citarasa orang ramai seperti menambahkan udang dan sayur sebagai pada mee tersebut.
Untuk saya peribadi, saya lebih suka mee kampua terutamanya mee kampua di Pekan Belaga. Memang sedap sangat!
Last year, saya sempat bawa anak dan suami ke Pekan Belaga untuk menikmati Mee Kampua kesukaan saya ni. Boleh baca mengenainya dibawah;
Trip to Long Dungan,Belaga - Part 1
Tidak kira apa pun perbezaan kedua-dua mee ini, ia tetap menjadi makanan kegemaran anak-anak Sarawak dan jangan lupa dicuba sekiranya anda berkunjung ke Sarawak.
0 comments